Thursday, July 23, 2009
Akhlak Muslim
Jagalah dirimu dari perkara-perkara yang haram nescaya anda menjadi
manusia yang paling 'abid, dan terimalah dengan penuh kerelaan akan
pembahagian yang telah ditentukan Allah kepada anda nescaya anda akan
menjadi manusia yang paling kaya, berbudilah kepada jiran anda, nescaya
anda menjadi mu'min yang sebenar, dan cintailah kepada orang lain apa
yang dicintai anda untuk diri anda sendiri, nescaya anda menjadi seorang
muslim yang sebenar, dan janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa itu
akan mematikan hati.
(diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari abu Hurairah)
Tujuannya :
Dalam hadis ini dibentang kepada kita beberapa garis panduan akhlak muslim
yang kita perlu hayati dan laksanakan dalam kehidupan agar dapat satu
bentuk hidup yang luhur, yang penuh kedamaian dan kesejahteraan.
1) Menjauhi perkara-perkara yang diharamkan
Untuk mencapai darjat para muttakim, siddiqin, a'bidin dan solihin,
seseorang itu perlu berusaha sedaya upaya menghindari dirinya dari
terjerumus ke dalam perkara-perkara maksiat dan haram seperti makanan,
minuman, perbuatan, tutur kata, .pendengaran, penglihatan dan tindakan.
Usaha bagi menghindari perkara-perkara ini amatlah rumit kerana ia
biasanya begitu hebat mempersonakan keinginan dan kecenderungan hati.
2 Relakan pengurniaan dari Allah
Untuk mencapai ketenteraman jiwa, seseorang muslim itu haruslah membentuk
sifat-sifat qanaah(berpada) sifat tidak tamak dan haloba dalam memenuhi
keperluan hidup apabila ia merasa cukup dan rela serta bersyukur maka ia
merasa dirinya selaku orang yang paling kaya didunia.
3. Hubungan baik dengan jiran
Untuk mencapai ketenteraman sosial setiap Muslim haruslah menjalankan
hubungan yang baik dan mesra dengan jiran tetangga kerana mereka adalah
kelompok manusia yang paling hampir dengan kita selain ahli keluarga yang
lain.
4. Cintakan orang lain
Islam adalah agama kasih sayang dan damai dari kekusutan hidup. Oleh itu
setiap Muslim haruslah menaruh rasa kasih sayang terhadap orang lain sama
dengan perasaan kasih terhadap dirinya sendiri. Apa yang tidak disukainya
berlaku kepada dirinya harus pula tidak disukainya berlaku pada orang
lain.
5. Jangan banyak ketawa
Ketawa pernah disifatkan sebagai "ubat jiwa". Akan tetapi sesuatu ubat
akan berubah menjadi racun apabila berlebihan akan membuatkan seseorang
itu tidak serius dalam kerja dan kehidupannya dan membuatkan hati
nuraninya mati dalam keseronokan dan fikirannya tidak tajam dengan banyak
ketawa. Barangsiapa banyak ketawa didunia dia akan menangis di akhirat dan
barangsiapa menangis di dunia dia akan ketawa di akhirat.
0 comments:
Post a Comment